Carian
Spotify Wrapped 2024 Kini Boleh Diakses Pengguna
December 4, 2024 Amy Maizuraa

Seperti tahun sebelumnya Spotify Wrapped 2024 kini sudah boleh diakses pengguna platform penstriman muzik nombor satu dunia. Melaluinya pengguna boleh melihat sendiri senarai artis, genre, lagu, podsiar, serta ringkasan kandungan audio yang didengari. Setiap satunya dinilai berdasarkan citarasa muzik pengguna, serta kecenderungan minat sepanjang tahun 2024.

Jika anda pengguna Spotify di A.S, UK, Australia, New Zealand, Kanada, Ireland, dan Sweden, Wrapped anda adalah lebih unik kerana mempunyai DJ yang memberikan komentar mengenai tabiat penstriman anda tahun ini. Bagi membawakan ciri ini, Spotify menggunakan kecerdasan buatan NotebookLM yang boleh menjana podsiar berdasarkan teks yang dimasukkan oleh pengguna. Malang sekali ciri ini terhad dan kita di Malaysia tidak boleh mengaksesnya.

Terdapat beberapa jenis analisis disediakan oleh Spotify berdasarkan pada kecenderungan minat masing-masing. Ia termasuklah bilakah bulan penstriman paling aktif, serta berapa lamakah masa yang dihabiskan untuk penggunaan Spotify pada tahun ini. Visual yang dipaparkan dalam Wrapped tahun ini juga dinamik kerana penuh dengan animasi dan bukan sekadar imej statik seperti tahun-tahun sebelum ini.

Untuk mengakses senarai Wrapped 2024 peribadi, pergi ke aplikasi dan tekan tab Wrapped yang diletakkan di bahagian menu atas antara muka. Spotify Wrapped boleh diakses pengguna Premium dan juga percuma sekarang.

Komen