Pelbagai jenama automotif menunjukkan penawaran terbaru mereka di acara Kuala Lumpur International Mobility Show tahun ini. Honda Malaysia pada tahun ini turut mempamerkan beberapa kenderaan konsep dan juga lebih menarik lagi, kereta elektrik yang bakal ditawarkan tahun depan untuk pasaran tempatan iaitu Honda e:N1.
Honda e:N1 merupakan kereta elektrik yang dibangunkan dari HR-V, dengan rekaan yang sama boleh dilihat dari pemegang pintu belakang, sehinggalah ke ruangan dalaman. Untuk pasaran rantau Asia Tenggara, ia dijual di Indonesia dan Malaysia berkemungkinan akan mengikut spesifikasi yang sama seperti motor elektrik yang boleh memberikan kuasa maksimum 150kW dan tork maksimum 310 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat dengan kelajuan maksimum 160 km/j.
Dari segi pengecasan pula, Honda e:N1 yang dijual di Indonesia mempunyai jarak perjalanan sekitar 410km WLTP hasil dari bateri bersaiz 68.8 kWh. Namun ia hanya menyokong pengecasan DC 78 kW, ,membuatkan tempoh pengecasan 10%-80% dalam masa 45 minit. Namun berlainan untuk AC, dimana pengecasan 11kW memerlukan sekitar 6 jam untuk pengecasan penuh.
Sehingga kini, Honda Malaysia sarat dengan penawaran kereta Hibrid yang juga memberikan menjimatkan tenaga namun dengan adanya model Honda e:N1 ini di acara KLIMS, pengunjung bakal dapat melihat lebih dekat lagi kereta elektrik sepenuhnya, disamping memberikan idea betapa penerimaan masyarakat terhadap kereta elektrik untuk pasaran tempatan.