Bandaraya Riyadh kini menjadi lokasi sistem transit awam dengan kereta api swapandu terpanjang di dunia. Riyadh Metro adalah sepanjang 176 kilometer, dengan ia mempunyai enam laluan dan 85 hentian. Ia turut disambungkan kepada 80 laluan bas dan 3 laluan BRT.
Sistem transit ini dibina bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di Riyadh serta mengurangkan pelepasan 12.5 juta tan karbon dioksida ke udara. Setiap kereta api dipisahkan kepada kelas pertama, keluarga dan penumpang bujang.
Kesemua kereta api berkuasa elektrik yang digunakan adalah dikeluarkan oleh Alstom. Ini terdiri daripada 69 kereta api Alstom Metropolis dan 47 Alstom Innovia yang beroperasi tanpa pemandu. Alstom Innovia ialah model yang sama digunakan Rapid KL untuk laluan Kelana Jaya.
Selain dibangunkan untuk kegunaan penduduk Riyadh, infrastruktur ini juga dibina bagi menyokong bidaan Arab Saudi untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.