Apabila Microsoft memperkenalkan sistem operasi Windows 11 beberapa tahun dahulu, mereka telah menetapkan bahawa penggunaan cip Trusted Platform Module 2.0 (TPM 2.0) adalah diwajibkan. Ia menguasakan sistem log masuk Windows Hello, BitLocker dan sebagainya yang membantu dalam memastikan komputer anda kekal selamat.
Isu terbesar dengan perkara ini ialah cip TPM 2.0 ini hanya hadir pada sejumlah cip pemprosesan moden pada waktu tersebut. Oleh kerana ini, bukan sahaja penggunaan sistem operasi Windows 10 masih lagi lebih meluas, malah untuk memudahkan proses penaiktarafan sistem operasi tanpa perlu menukar perkakasan CPU yang lebih baru, Microsoft telah melonggarkan keperluan TPM 2.0 ini.
Sokongan kemaskini untuk Windows 10 akan ditamatkan pada Oktober 2025, dan ia dikatakan bahawa sekiranya pengguna masih lagi mahu sistem operasi tersebut dikemaskini selepas waktu tersebut, mereka akan perlu membayar untuk kemaskini tersebut.
Dalam sebuah pengumuman baru, Microsoft juga nampaknya akan memperkenalkan semula keperluan untuk komputer-komputer yang mahu menggunakan sistem operasi Windows 11 untuk menggunakan CPU yang hadir dengan sokongan TPM 2.0.
Selain daripada memastikan bahawa keselamatan data pengguna terjamin, ia juga adalah untuk memastikan bahawa komputer-komputer tersebut dapat memanfaatkan pelbagai ciri-ciri baru yang diperkenalkan pada sistem operasi tersebut tanpa masalah.