JPN Menafikan Insiden 17 Juta Butiran MyKad Rakyat Malaysia Tertiris Melalui Sistem Mereka
Nazrin
Semalam kami ada melaporkan bahawa ia disyaki sebanyak 17 juta butiran kad pengenalan MyKad rakyat Malaysia telah tertiris dan dijual di arena web gelap melalui gambar-gambar MyKad yang diambil mungkin untuk tujuan eKYC.
Hari ini, Jabatan Pendaftaran Negara telah mengeluarkan kenyataan mengenai perkara tersebut, dan menafikan bahawa terdapat sebarang ketirisan data MyKad melalui sistem dan pengkalan data mereka.

Melalui hantaran pihak JPN di Facebook, siasatan mereka mendapati tiada kebocoran data ataupun transaksi mencurigakan berlaku dalam sistem di JPN. Malah, mereka juga menegaskan tiada sebarang kes seperti demikian pernah berlaku sebelum ini melibatkan sistem JPN. JPN juga telah berhubung dengan pihak NACSA dan PDRM bagi membolehkan siasatan di peringkat mereka diambil.
Dalam pada itu, mereka juga telah memperlihatkan beberapa kenyataan daripada Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah NACSA dan Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM. Rata-rata, kenyataan mereka memperlihatkan bahawa ketirisan ini, sekiranya ia benar-benar berlaku, ia tidak berlaku melalui pengkalan data JPN.
Seperti yang kami laporkan semalam, ketirisan gambar-gambar MyKad ini, sekiranya benar, terdapat kebarangkalian besar hadir melalui pengkalan data sistem eKYC yang digunakan untuk mengesahkan identiti pengguna platform-platform digital yang digunakan oleh rakyat Malaysia melalui tangkapan gambar MyKad.
New Straits Times turut melaporkan bahawa Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) juga telah mengesahkan bahawa gambar-gambar kad pengenalan yang diperilhatkan didalam tirisan tersebut merupakan data yang didapati daripada ketirisan data lama, mungkin dari insiden pencerobohan data dari tahun 2015 ke 2017.
Melalui semakan yang dilakukan oleh National Cyber Coordination and Command Centre (NC4), mereka bukan sahaja tidak menerima sebarang laporan daripada pihak JPN, tetapi melalui sampel yang disemak oleh mereka, butiran MyKad yang diperlihatkan daripada tirisan “terbaru” ini adalah daripada set data lama, dan tidak membuktikan bahawa terdapat sebarang tirisan data baru daripada mana-mana pihak.
[sumber]Jabatan Pendaftaran Negara, New Straits Times[/sumber]