Carian
ChatGPT Pro Diperkenalkan Pada Langganan $200 Sebulan – Akses Tanpa Had Model o1, GPT-4o
December 6, 2024 Aman

OpenAI hari ini telah memperkenalkan pelan langganan baharu, dinamakan sebagai ChatGPT Pro. Pelan langganan baharu ini ditawarkan pada harga $200 sebulan, iaitu 10 kali ganda berbanding ChatGPT Plus yang ditawarkan pada harga $20 sebulan.

ChatGPT Pro menawarkan pelbagai penawaran pada ChatGPT Plus, tetapi turut menyertakan akses tanpa had kepada model o1, o1-mini dan juga GPT-4o tanpa had. Model ini dikatakan menawarkan kebolehan taakulan lebih baik berbanding model-model sebelum ini, terutamanya melibatkan pengaturcaraan dan permasalahan matematik. OpenAI turut mengatakan pelan ChatGPT Pro menawarkan akses kepada o1 Pro Mode yang menggunakan lebih banyak perkomputeran dalam menawarkan jawapan terbaik untuk soalan-soalan sukar dan mencabar. Sementara GPT-4o pula menawarkan kemampuan berbual dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

Melalui ChatGPT Pro juga, pengguna menerima akses tanpa had kepada ciri perbualan suara, “Advanced Voice Mode”. Pelan ChatGPT Pro ini dilihat lebih disasarkan kepada mereka yang kerap melakukan kajian dan penyelidikkan, dan boleh mempercepatkan kajian serta meningkatkan produktiviti melaluinya.

Akses kepada ChatGPT Pro ini kini terbuka kepada semua pengguna seluruh dunia, dan boleh dilanggan melalui ChatGPT hari ini pada harga $200 sebulan.

Komen