Selepas hampir 4 bulan Zeekr Malaysia membuka pra-tempahan dua kereta elektrik mereka iaitu Zeekr X dan Zeekr 009, hari ini mereka akhirnya telah mengumumkan penjualan rasmi kedua-dua model ini untuk pasaran tempatan.
Zeekr X merupakan SUV elektrik yang mempunyai bateri sebesar 66kWh yang dilengkapkan pengecasan pantas DC 150kW membolehkan pengecasan 10%-80% dalam masa 30 minit. Ia ditawarkan dalam dua versi, iaitu Premium dan Flagship AWD. Versi Premium dikuasakan motor elektrik di bahagian belakang yang mempunyai kuasa 268 hp, membolehkan pecutan 0-100km/j dalam masa 5.6 saat. Versi Flagship AWD pula mempunyai dua motor elektrik yang memacu kesemua tayar, menghasilkan kuasa kuda 422 hp bagi membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 3.8 saat.
Sekiranya SUV bukanlah citarasa anda, Zeekr 009 merupakan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah yang akan ditawarkan dalam 2 versi iaitu Luxury 7 Penumpang dan Ultra Luxury 6 Penumpang. MPV ini mempunyai bateri sebesar 116 kWh yang memberikan jarak perjalanan 582 KM WLTP dan dilengkapkan dengan pengecasan pantas DC 150KW memendekkan masa pengecasan dari 10%-80% sepantas 30 minit. Kedua-dua versi ini menggunakan dua motor elektrik yang memacu kesemua tayar, menghasilkan kuasa kuda 603 hp dan 693 tork yang membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat.
Membezakan Zeekr 009 dengan MPV elektrik yang lain adalah kemewahan yang ditawarkan seperti kulit kusyen Nappa, 30 pembesar suara Yamaha, paparan OLED 17-inci untuk penumpang belakang malah tahap hingar kabin ini yang terlalu rendah, membolehkan pengguna korporat melakukan telesidang terus dari dalam kenderaan ini.
Zeekr X versi Premium ditawarkan pada harga RM155,800 manakala versi Flagship AWD ditawarkan pada harga RM172,800. Dan Zeekr 009 akan ditawarkan pada harga RM 349,800 manakala versi Ultra Luxury 6-tempat duduk ditawarkan pada harga RM 359,800.
Untuk kedua-dua model serta versinya turut menerima jaminan 5 tahun atau 150,000 KM jarak perbatuan, jaminan bateri 8 tahun atau 160,000 KM jarak perbatuan. Pembeli juga akan menerima data internet selama 2 tahun berjumlah 6GB, dan 500 pembeli pertama akan menerima pengecas rumah, pengecas mudah alih, filem penapis solar untuk Zeekr 009, manakala sunshade untuk Zeekr X.