Suno merupakan salah satu perkhidmatan berasaskan kecerdasan buatan yang sangat popular, memfokuskan kepada menjana muzik dan lagu melaluinya. Selepas menawarkan perkhidmatan melalui web dan juga aplikasi iOS, kini Suno turut secara rasminya melancarkan aplikasi Android mereka.
Menggunakan Suno, pengguna boleh memasukkan sesuatu promp, dan seterusnya ia akan secara automatik menjana vokal, bunyi latar, muzik dan sebagainya sehingga suatu lagu terhasil. Suno dilihat menerajui arena penjanaan muzik ini, dan menawarkan hasil yang lebih baik berbanding pelbagai pesaing yang lain.
Suno mengatakan melalui aplikasi Android, pengguna boleh mengakses versi 4 untuk perkhidmatan tersebut, dan boleh menjana muzik dengan mudah melalui aplikasi tersebut. Bagi anda yang berminat, boleh memuat-turun Suno di Google Play Store, dan menggunakannya dalam menghasilkan muzik anda hari ini.