Bytedance sedia tidak bersetuju dengan langkah kerajaan Amerika Syarikat yang ingin mengharamkan aplikasi TikTok di negara tersebut sekiranya ia tidak dijual kepada syarikat tempatan di sana. Perkara ini membuatkan Bytedance membuat rayuan di mahkamah di Amerika Syarikat sebelum ini.
Namun, rayuan mereka dilihat ditolak oleh hakim mahkamah, sekaligus mengekalkan perintah asal – yang memerlukan aplikasi TikTok dijual kepada syarikat tempatan di sana, atau ia akan diharamkan selepas 19 Januari 2025. TikTok mengatakan mereka akan seterusnya melakukan rayuan di Mahkamah Agung. Dengan perintah pengharaman akan berkuat-kuasa dalam beberapa minggu lagi, tidak diketahui lagi sama ada pihak Mahkamah Agung akan menerima kes ini atau sebaliknya.
Sebelum ini, kerajaan Amerika Syarikat mengatakan TikTok membenarkan data dikumpulkan oleh China, dan digunakan dalam mengetahui pelbagai pergerakkan pengguna negara barat tersebut. Walaubagaimanapun, pihak TikTok menidakkan tuduhan tersebut, dan menyatakan tiada sebarang bukti yang diutarakan oleh pihak kerajaan Amerika Syarikat sehingga kini.
Dengan perkembangan baharu ini, sama-sama kita nantikan apakah nasib seterusnya TikTok di Amerika Syarikat, dan sama ada Donald Trump sebagai presiden kelak akan membatalkan perintah pengharaman tersebut atau mengekalkannya.