Apple Vision Pro boleh dikatakan salah satu produk terbaru Apple yang kurang menerima permintaan tinggi – termasuk disebabkan oleh harganya, penawaran kandungan, dan juga penggunaannya. Namun, Apple yang telah melabur berbilion ringgit dalam pembangunannya, kini dilihat ingin turut memposisikan peranti realiti-terimbuh berkenaan sebagai peranti mesra permainan video.
Untuk tujuan tersebut, Apple dilaporkan akan bekerjasama dengan pihak Sony, dan dikatakan bakal mengumumkan sokongan alat kawalan PSVR2 untuk digunakan bersama-sama Apple Vision Pro.
Setakat ini, Apple Vision Pro tidak ditawarkan bersama sebarang alat kawalan – dan Apple menekankan kepada sokongan kawalan berasaskan mata, selain gerakkan jari dan tangan. Namun, perkara berkenaan sendiri tidak memberikan keselesaan kepada sejumlah pengguna, dan ada kalanya ia memilih pilihan yang salah.
Dengan penawaran alat kawalan PSVR2 untuk Apple Vision Pro, ia dijangka membolehkan bukan sahaja permainan video dimainkan dengan baik, tetapi alat kawalan tersebut turut boleh digunakan untuk mengawal sejumlah perisian dan aplikasi lain menggunakan Vision Pro.
Ia tidak diketahui lagi sama ada pengumuman kerjasama ini akan membawa kepada permintaan Vision Pro lebih tinggi atau sebaliknya. Sony sendiri dilihat masih tidak menjual alat kawalan PSVR2 secara berasingan pada hari ini – dan tidak diketahui bagaimana ia akan berubah selepas kerjasama diumumkan.
Sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut pihak Apple berkaitan peranti realiti-terimbuh mereka tersebut.