Selain daripada sistem operasi Windows, Microsoft juga dikenali untuk penawaran perkakasan dan peranti-peranti komputer mereka dalam siri Surface. Mereka juga membangunkan komputer desktop AIO dibawah nama Surface Studio, dan model terbaru mereka dinamakan Microsoft Surface Studio 2+.
Ia tampil dengan paparan skrin boleh sentuh PixelSense sebesar 28 inci dengan nisbah paparan 3:2 dan dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel generasi ke-11 yang cukup berkuasa, dan juga kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3060 untuk produktiviti kreatif yang baik.
Satu lagi keunikannya hadir melalui engsel Zero Gravity yang membolehkan paparan skrin Surface Studio ini untuk ditegakkan atau dibaringkan mengikut keperluan pengguna.
Sayangnya, Microsoft baru-baru ini telah mengesahkan bahawa pengeluaran Microsoft Surface 2+ sudahpun dihentikan, dan syarikat tersebut mengatakan bahawa tiada pengganti akan diperkenalkan buat masa terdekat ini.
Ini mungkin kerana Microsoft memperlihatkan bahawa komputer tersebut tidak mendapat sambutan sebanyak produk-produk lain yang ditawarkan mereka seperti Microsoft Surface Pro dan Surface Laptop yang masih banyak dibeli walaupun ia juga hadir dengan tanda harga premium.
Fokus Microsoft juga kini nampaknya lebih kepada teknologi AI CoPilot+ yang diperkenalkan oleh mereka, dan ia dilihat lebih mudah diperkenalkan pada komputer riba berbanding dengan desktop.