Carian
Sokongan Windows Recall Kini Dilanjutkan Ke PC CoPilot+ AMD Dan Intel
December 9, 2024 Nazrin

Beberapa minggu lalu kami ada melaporkan bahawa Microsoft telah mula menguji kembali ciri Windows Recall mereka melalui program Windows Insider untuk komputer-komputer riba yang dikuasakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X.

Terkini, Microsoft mengesahkan bahawa fasa ujian tersebut telah dilanjutkan kepada komputer-komputer riba CoPilot+ yang dikuasakan cip pemprosesan AMD Ryzen AI 300 dan Intel Core Ultra 200V terbaru. Microsoft nampaknya sedang bersiap-sedia untuk melancarkan ciri ini kepada komputer-komputer riba tersebut, yang pada pendapat mereka adalah salah satu ciri utama untuk sistem operasi Windows 11.

Windows Recall merupakan sebuah ciri opt-in dimana pengguna perlu mengesahkan bahawa mereka mahu menggunakannya, dan faham bahawa tangkapan layar untuk setiap input yang dilakukan oleh mereka akan diambil untuk tujuan penyimpanan data dalam peranti. Data ini tidak akan dihantar ke mana-mana mesin pelayan, dan hanya boleh diakses secara fizikal.

Kemaskini terbaru ujian Windows Recall ini juga memperlihatkan penambahan sokongan beberapa bahasa baru seperti Bahasa Cina (simplified), Perancis, Jerman, Jepun dan Sepanyol.

Jika anda dalam program Windows Insider, ciri ini akan diperkenalkan untuk komputer-komputer riba tersebut melalui kemaskini Windows 11 Insider Preview Build 26120.2510 (KB5048780).

Komen