Astro adalah antara penyedia TV satelit terbesar di Malaysia yang cuba menawarkan berkas langganan yang pelbagai. Pelan terbaru yang dilancarkan hari ini iaitu Astro One memberi fleksibiliti kepada pengguna untuk mengubahsuai pakej langganan masing-masing. Menariknya, buat pertama kali Astro membenarkan pelanggan menaiktaraf langganan platform penstriman pihak ketiga di bawah mereka.
Misalnya dengan pelan Hiburan yang berharga RM49.99 sebulan, pengguna boleh tambah Disney+ Hotstar Basic pada harga RM18.30 sebulan berbanding RM24.90 tanpa Astro. Pelan Premium turut boleh dilanggan dengan harga RM33 berbanding RM39.90 sebulan. Seterusnya adalah iQIYI Standard VIP yang berharga RM8.90 berbanding RM11.90 sebulan dan RM12.90 untuk Premium VIP berbanding kebiasaannya RM17.90.
Untuk Netflix, ia dilihat terhad kepada pelan Epik sahaja. Dengan langganan RM199.99 sebulan, Netflix Standard HD untuk akses 2 skrin disertakan. Pelan ini biasanya berharga RM49.90 sebulan dan Netflix memberi pengguna menambah hanya RM10 untuk menjadikan ia kepada pelan Premium. Jika tidak sebulan pelan ini berharga RM62.90.
Dalam semakan kami, pelan Max sahaja yang masih tidak boleh diubahsuai atau ditambah di mana-mana. Setiap langganan platform penstriman ini turut tidak lagi terikat dengan kontrak, tetapi pelan langganan Astro One masih ada kontrak selama 24 bulan.