Pengguna iOS kecoh apabila ciri Genmoji diperkenalkan, di mana Apple Intelligence boleh menjana emoji eksklusif berdasarkan prom ringkas pengguna. Untuk peranti Android, sebelum era kecerdasan buatan generatif – papan kekunci Google iaitu Gboard sudah ada ciri menjana emoji tersendiri. Ia dinamakan sebagai Emoji Kitchen dan kemas kini terbaru menjadikannya lebih menarik.
Anda mungkin boleh membayangkan kemas kini baharu ini sebagai alternatif kepada Genmoji tetapi untuk Android. Bahagian carian emoji pada Gboard kini ada ruangan carian khas, di mana ia menawarkan pelbagai koleksi kombo emoji. Pelbagai emoji telah disediakan yang menggabungkan antara emoji senyum dan najis, emoji ayam dan menangis, emoji terkejut sambil naik basikal dan pelbagai lagi.
Sokongan menjana emoji sendiri turut masih boleh digunakan, di mana pengguna hanya perlu masukkan dua atau tiga emoji berbeza untuk mendapatkan satu emoji tersendiri. Cuma berbeza dengan sistem Apple, Genmoji akan kekal dalam format emoji sementara janaan Emoji Kitchen adalah dalam format pelekat.
Ciri ini terhad kepada pengguna Pixel terlebih dahulu, sementara pengguna Android biasa ia terhad kepada aplikasi Gboard versi beta.