Carian
Eksekutif Apple Yang Terlibat Dengan Pembangunan Apple Silicon Antara Calon CEO Baharu Intel
December 10, 2024 Fahim Zahar

Minggu lepas, CEO Intel iaitu Pat Gelsinger bersara secara mengejut. Beliau dilaporkan telah diberikan kata dua untuk bersara ataupun dipecat. Ini kerana lembaga pengarah Intel telah hilang kepercayaan kepada Gelsinger sejak beliau menjadi CEO pada tahun 2021. Intel menimpa pelbagai nasib malang dan semakin ke belakang dengan pesaing seperti cip Apple Silicon atau Qualcomm. Terbaru, calon CEO baharu yang disenarai pendek telah didedahkan.

Menurut Bloomberg, eksekutif Apple iaitu Johny Srouji yang berkhidmat sebagai naib presiden teknologi perkakasan adalah antara calon yang telah disenarai pendek. Srouji bertanggungjawab dalam pembangunan cip Apple Silicon. Beliau telah berkhidmat sejak tahun 2008 bagi menjayakan cip Apple A4 pada iPhone 4 dan iPad generasi pertama serta turut melaporkan diri kepada John Ternus iaitu naib pengerusi senior kejuruteraan perkakasan.

Ini bukan kali pertama Intel mahukan Srouji. Beliau telah dipilih sejak Brian Krzanich meletakkan jawatan sebagai CEO Intel pada tahun 2018. Namun pada ketika itu, beliau masih sibuk menjayakan cip Apple Silicon. Buat masa sekarang masih tidak pasti jika Srouji akan menerima jawatan ini. Apple akan datang akan hadir dengan modem 5G tersendiri dan produk baharu untuk peranti Internet benda di rumah. Sama-sama kita nantikan.

Komen