RØDE Wireless GO adalah antara mikrofon bersaiz kompak yang popular sebelum Hollyland Lark M2 menjadi terkenal di kalangan pencipta kandungan. Terbaru, mereka telah melancarkan generasi ketiga yang terbaru dengan pelbagai ciri baharu yang meminjam dari Wireless Pro.
RØDE Wireless GO Gen 3 kini menyokong rakaman audio 32-bit untuk fail audio lebih berkualiti dan lebih fleksibel ketika melakukan rakaman. Ia turut hadir dengan ciri GainAssist untuk membantu mengawal kekuatan audio secara automatik. Audio turut boleh disimpan terus di dalam mikrofon ini tanpa perlu disimpan ke dalam memori luaran atau peranti.
Rakaman audio padanya menggunakan sistem dwi-mikrofon, sambungan Series IV 2.4GHz, sokongan sambungan ke pelbagai peranti, skrin untuk pemantauan dan boleh digunakan bersama produk RØDE lain seperti Caster Pro II, Caster Duo, Caster Video, Wireless PRO, atau Interview PRO.
Rekaan kecil dan kompak turut diteruskan dengan terdapat pilihan klip atau magnet untuk mudah dipakai oleh hos video pada baju atau jaket. Menariknya, ini buat pertama kali RØDE menawarkan pilihan warna-warni dengan 12 pilihan warna tambahan selain warna hitam atau putih. Buat masa ini ia masih tidak dijual di Malaysia dan dijual pada harga $299 (~RM1,324) dan $89 (~RM394) untuk pod pengecas Charge Case+.