Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat (FOI) dijangka dibentangkan di Parlimen menjelang pertengahan tahun 2025 menurut Datuk Seri Azalina Othman hari ini. Keputusan ini diambil selepas tujuh sesi penglibatan menyeluruh dengan 1,500 pakar dan pihak berkepentingan yang terdiri daripada wakil dari agensi kerajaan, NGO, pertubuhan masyarakat sivil (CS0), ahli akademik, dan pakar antarabangsa dari pelbagai negara untuk memastikan RUU ini sepadan dengan keperluan Malaysia.
Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran mengumumkan bahawa RUU FOI akan dibentangkan menjelang akhir 2024. Ia akan memberikan akses maklumat kepada semua rakyat dengan pengecualian untuk data peribadi, maklumat keselamatan negara, pertahanan dan juga hubungan diplomatik.
Prinsip utama di sebalik RUU FOI ialah orang ramai mempunyai hak untuk mengetahui tentang aktiviti pihak berkuasa awam bagi memastikan ianya dilakukan secara telus sekaligus mengukuhkan demokrasi, meningkatkan akses kepada maklumat, memperkasakan rakyat dan membina kepercayaan kepada kerajaan.