Proton mengesahkan bahawa kereta elektrik (EV) pertamanya akan dilancarkan secara rasmi pada 16 Disember 2024. Syarikat berkenaan mendedahkan perkara itu melalui beberapa imej acah yang dimuat naik di media sosial rasmi sejak semalam. Pada masa sama mengajak orang ramai untuk bersama-sama mengira detik bagi menyambut serta memeriahkan kehadiran kereta elektrik ini secara rasmi tidak lama lagi.
Tempahan awal bagaimanapun sudah dibuka sejak November yang lalu dengan anggaran harga jualan sekitar RM120,000. Malahan tawaran istimewa yang menawarkan rebat RM500 berserta pakej hadiah bernilai RM1000 turut disediakan untuk tempahan awal mana-mana variasi model sebelum pelancaran rasmi kelak.
Dibangunkan hasil kerjasama Proton dan Geely, model SUV elektrik ini dilengkapi satu motor elektrik 160 kW dengan kuasa 218 PS yang boleh memecut 0-100km/j dalam masa 6.8 saat dengan kelajuan maksimum 175 kmj. Dua varian ditawarkan iaitu Proton e.MAS 7 Prime dan Proton e.MAS 7 Premium dengan perbezaan dari segi kapasiti bateri. Di mana versi Prime hadir dengan bateri 49.52 kWh yang menyokong pengecasan DC 80 kW dan menawarkan jarak pemanduan sehingga 345km. Sementara itu versi Premium dilengkapi bateri 60.22 kWh yang menyokong pengecasan DC 100kw dengan jarak pemanduan 410 km.
Khusus untuk versi premium juga terdapatnya kelengkapan tambahan seperti bumbung lut cahaya yang boleh dibuka, 16 pembesar suara, paparan terimbuh HUD, lampu persekitaran LED, tempat duduk dengan sistem pengudaraan dan juga but belakang automatik. Selain itu kedua-dua versi Prime dan Premium mempunyai kecanggihan lain seperti Swapandu tahap 2, fungsi Vehicle-to-load, penghawa dingin dengan penapis udara N95, paparan inforia 15.4″ 2K, paparan cluster pemanduan sebesar 10″ dan lain-lain.
Anggaran harga jualan yang ditawarkan ketika ini masih belum dapat dipastikan sama ada permulaan atau sebagainya. Justeru sama-sama nantikan kejutan yang disediakan oleh Proton untuk ketahui lebih lanjut mengenai penawaran penuh pada kereta elektrik ini. Kami di Amanz akan menyediakan kemaskini selebihnya dalam artikel yang akan datang.