Google dan Microsoft dihentam oleh persatuan alam sekitar kerana pusat-pusat data mereka menggunakan jumlah air yang tinggi untuk sistem penyejukan sehingga mendatangkan impak kepada penduduk persekitarannya. Ia adalah isu yang juga dibangkitkan di Malaysia selepas beberapa pusat data diumumkan di negara kita tahun ini. Pagi ini Microsoft memperlihatkan rekaan pusat data terkini mereka yang tidak lagi memerlukan bekalan air berterusan untuk disejukkan.
Menerusi rekaan pusat data baharu ini, bekalan air bersih hanya diperlukan untuk dapur dan tandas kakitangan sahaja. Menurut Microsoft ini sekaligus menjimatkan penggunaan sehingga 125 juta liter air setahun yang diperlukan oleh pusat data kendalian mereka. Sistem ini masih lagi menggunakan air untuk penyejukan tetapi dalam kitaran tertutup.
Air akan dikitar secara berterusan tanpa pusat data memerlukan bekalan air bersih sepanjang masa. Seterusnya penyejukan di tahap cip juga telah ditambah baik bagi membolehkan pusat data disejukkan dengan menggunakan air pada suhu lebih tinggi. Dua pusat data pertama dengan sistem baharu ini akan dibina di Phoenix, Arizona, dan Mt. Pleasant, Wisconsin dengan ia akan beroperasi menjelang 2026.
Pusat data lain akan mula berubah kepada sistem ini secara berperingkat bermula 2027. Dengan ini Microsoft berkata kesemua sistem penyejukan pusat data mereka kelak tidak lagi menggunakan penyejatan air. Bulan lalu Microsoft telah memperlihatkan rekaan pusat data yang dibina menggunakan kayu cross-laminated timber (CLT) yang mengurangkan jejak karbon mereka.