Kami yakin anda menonton video daripada penghasilan kandungan luar negara. Secara peribadi kandungan daripada Jepun amat kami minati dengan ia ditonton dengan membaca sari kata. Kini YouTube mula memberikan ciri Auto Dubbing yang akan mengalih bahasa video yang dimuat naik secara automatik.
Pengguna YouTube boleh mengetik kotak untuk melakukan auto dubbing secara automatik. Audio asal kemudiannya akan diubah kepada bahasa lain menggunakan kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan menggunakan teknologi Google DeepMind dan Google Translate.
Video Bahasa Inggeris yang dimuat naik akan secara automatik mempunyai pilihan trek audio dalam Bahasa Perancis, Jerman, Hindi, Indonesia, Itali, Jepun, Portugis, dan Sepanyol. Video dalam lapan bahasa ini pula akan secara automatik mempunyai trek audio dalam Bahasa Inggeris.
Ciri auto dubbing kini diaktifkan pada kesemua saluran YouTube Partner Program yang menghasilkan kandungan yang memfokuskan pengetahuan dan maklumat. Ia akan kemudiannya diberikan juga kepada genre lain di masa hadapan.