Micron ialah syarikat pengeluar cip seterusnya untuk mengesahkan mereka akan menerima pembiayaan daripada geran CHIPS Act untuk memacu pengeluaran cip memori berteknologi tinggi di Amerika Syarikat.
Syarikat yang terkenal untuk komponen-komponen cip memori dan storan mereka mengatakan bahawa mereka akan menerima geran sebanyak $6.1 bilion (~RM27 bilion) daripada kerajaan Amerika Syarikat untuk menaiktarafkan kilang-kilang mereka di New York dan Idaho sepanjang 20 tahun akan datang.
Pelaburan ini adalah untuk membolehkan Amerika Syarikat untuk meningkatkan pengeluaran cip memori canggih dari Amerika Syarikat dari 2 peratus ke 10 peratus menjelang 2035. Micron juga sebelum ini mengesahkan bahawa mereka mahu melaburkan sekitar $50 bilion sebelum 2030 untuk menaiktarafkan teknologi pengeluaran cip memori mereka.
Dengan pelaburan ini, ia dijangka akan mencipta 20 ribu peluang pekerjaan baru di Amerika Syarikat, tetapi untuk masa terdekat ini, ia juga dilaporkan bahawa Micron akan menerima pelaburan $275 juta untuk menaiktaraf kilang memori mereka di Manassas, Virginia untuk membawa teknologi 1-alpha mereka ke Amerika Syarikat untuk membolehkan mereka mengeluarkan komponen memori DRAM LPDDR5 di sana. Penaiktarafan ini dijangka mencipta 400 peluang pekerjaan baru di Micron, dan sebanyak 2700 pekerjaan untuk tujuan penaiktarafan tersebut.