Carian
Nokia Melancarkan Kamera 5G 360° 8K Untuk Kegunaan Industri
December 11, 2024 Amy Maizuraa

Nokia baru sahaja melancarkan kamera realiti maya dengan kemampuan merakam secara 360 darjah untuk kegunaan industri. Ia juga menawarkan penstriman kandungan Ultra-HD 8K dengan audio spatial melalui sambungan yang berbeza seperti 5G, Wi-Fi dan Ethernet untuk rangkaian yang stabil serta pantas. Selain itu menawarkan keupayaan untuk menghantar video dan audio melalui rangkaian nirwayar peribadi/awam sekali gus membolehkan penggunaan alat kawalan jauh secara masa nyata.

Sebanyak dua varian berbeza ditawarkan yang terdiri dengan Nokia 360° Camera (Wi-Fi) yang lebih berpatutan dengan penstriman multimedia 8K 360 darjah. Sementara itu, Nokia 5G 360° Camera (Extreme Temperature) pula sesuai digunakan untuk keadaan suhu yang melampau. Apabila dipasangkan bersama perisian Nokia Real-time eXtended Reality Multimedia (RXRM), kedua-dua kamera turut boleh digunakan untuk memantau keadaan mesin dan peralatan dalam masa nyata. Terdapat juga pelekap disediakan untuk proses pemasangan yang mudah, di samping mempunyai penarafan IP67 untuk kalis air dan habuk.

Nokia memasarkan kamera ini sebagai peranti industri, jadi ia tidak akan tersedia untuk pengguna biasa. Malahan sudah sedia digunakan dalam industri berbeza untuk meningkatkan kecekapan, seperti syarikat Finland Callio Pyhäjärvi yang menggunakan ia bagi tujuan penyelidikan serta operasi jarak jauh berkaitan perlombongan.

Komen