Carian
Butiran Cip Pemprosesan AMD Strix Halo Tertiris Melalui Penanda-aras Geekbench
December 11, 2024 Nazrin

AMD akan melancarkan sejumlah komponen-komponen PC baru pada acara CES 2025 kelak, dan terkini, salah satu daripada komponen tersebut telah tertiris ke arena web. AMD Strix Halo merupakan kod nama untuk siri cip pemprosesan komputer riba AMD yang akan memfokuskan kepada prestasi gaming semata-mata, dan ia dikatakan akan menjadi APU paling berkuasa mereka setakat ini.

Terkini, salah satu cip tersebut telah tertiris ke arena web. Ia adalah AMD Ryzen AI Max+ Pro 395 dan hadir dengan cip grafik terbina yang dinamakan AMD Radeon 8060S Graphics. Perkara ini disahkan melalui penyenaraian di laman web penanda-aras CPU Geekbench baru-baru ini.

Melalui tangkapan layar yang diambil dari laman tersebut, cip pemprosesan ini hadir dengan 16 teras Zen5 terbaru dengan 32 bebenang kuasa dengan kelajuan asas 3.0GHz. Apa yang menarik lagi ialah APU ini diuji dengan papan induk yang juga merumahkan sebanyak 64GB memori DDR5 dengan kelajuan 1994MT/s.

Ini sedikit sebanyak juga mengesahkan bahawa cip grafik Radeon 8060S yang terbina boleh mengakses memori RAM pada komputer untuk menambahkan prestasi pada cip grafik tersebut. Ura-ura mengatakan bahawa prestasi cip grafik ini boleh menandingi sebuah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4060 ataupun RTX 4070 apabila ia boleh menggunakan memori yang mencukupi.

Buat masa ini ia tidak diketahui lagi apakah komputer-komputer riba yang akan menggunakan cip pemprosesan ini, tetapi kami jangka ia akan diperlihatkan di acara CES 2025 kelak.

Komen