Carian
Apple Perkenalkan iOS 18.2 Dengan Sokongan Integrasi ChatGPT
December 11, 2024 Aman

Apple hari ini memperkenalkan iOS 18.2 untuk pengguna iPhone, dan juga iPadOS 18.2 untuk iPad, yang menyertakan sejumlah perkara baharu bersama-sama dengannya. Fokus diberikan kepada fungsi Apple Intelligence.

Melalui iOS 18.2 ini, salah satu fungsi yang disertakan adalah Image Playground. Fungsi ini membolehkan penjanaan imej berasaskan kepada sesuatu promp, atau berasaskan kandungan yang sedang dibualkan melalui Messages. Buat masa ini, Image Playground tidak menyokong penjanaan imej manusia dalam bentuk realistik.

Selain itu, iOS 18.2 turut hadir dengan integrasi ChatGPT, membolehkan anda mengaksesnya melalui Siri atau Writing Tools. Pengguna boleh menggunakan integrasi ini tanpa sebarang akaun ChatGPT, dan pengguna akan ditanya kebenaran untuk menggunakan ChatGPT untuk sesuatu tugasan, sebelum ChatGPT digunakan.

Satu lagi ciri yang disertakan adalah sokongan Genmoji, membolehkan anda menjana emoji khusus eksklusif untuk dikongsikan bersama yang lain.

Buat masa ini, ciri Apple Intelligence hanya terhad kepada pengguna iPhone 15 Pro dan juga siri iPhone 16. Anda boleh mengemaskini ke sistem operasi terkini dengan akses halaman tetapan General > Software Update.

Komen