Selang setahun sejak memperkenalkan Gemini 1.0, hari ini Google secara rasminya memperkenalkan model kecerdasan buatan terbaru mereka, iaitu Gemini 2.0. Gemini 2.0 menawarkan sokongan multi-modal, membolehkan penjanaan terus imej serta audio, dan pada masa yang sama membolehkan pembangunan ejen AI di atasnya.
Melalui ejen AI ini, pengguna boleh mengoptimasikan penggunaan Gemini dalam melaksanakan sesuatu tugasan khusus – terutamanya melibatkan perusahaan dan sebagainya. Dibawah contoh ejen AI ini, Google memperlihatkan Project Astra – yang pernah dipertontonkan sebelum ini, membolehkan kamera telefon digunakan untuk membantu anda menerangkan berkaitan persekitaran pengguna, dan memberikan respon yang bersesuaian dengannya.
Google mengatakan penawaran Gemini 2.0 akan bermula hari ini kepada sejumlah pembangun dan para penguji. Disamping itu, Google turut akan memperkenalkan integrasi Gemini 2.0 melalui carian dan juga Gemini itu sendiri.
Model pertama dibawah Gemini 2.0 dinamakan Gemini 2.0 Flash, yang memfokuskan kepada maklumbalas lebih pantas, selain mengekalkan sokongan multi-modal. Model ini dikatakan beroperasi dua kali ganda laju berbanding Gemini 1.5 Flash sebelum ini. Pembangun turut boleh menggunakan model baharu ini bukan sahaja dalam penjanaan berasaskan teks, imej dan audio, tetapi juga membolehkan ia menjalankan kod, melakukan carian, dan integrasi API lain.
Dengan pengenalan ini, pihak Google dilihat menyasarkan tahun 2025 akan memulakan pembangunan pelbagai ejen AI di atas asas model kecerdasan buatan mereka, sekaligus menyesuaikan lagi sesuatu penggunaan model kecerdasan buatan.
Bagi para pengguna yang ingin menggunakannya, boleh menguji Gemini 2.0 Flash ini melalui aplikasi Gemini. Pengguna perlu melakukan pilihan model terbaru ini pada bahagian menu, sebelum dapat menikmati model terbaru kecerdasan buatan Google ini.