Dewan Rakyat Meluluskan RUU Keselamatan Dalam Talian 2024
Amy Maizuraa
Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Talian (OSB) 2024 selepas ia selesai dibahaskan semasa bacaan kedua semalam. RUU berkenaan diluluskan menerusi undian suara yang menyaksikan lebih suara ahli parlimen yang bersetuju berbanding tidak bersetuju. Seramai 132 ahli parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan RUU berkenaan, sementara itu seramai 90 ahli tidak hadir.

Difahamkan bahawa objektif utama RUU itu adalah untuk mengurangkan jenayah siber seperti penipuan serta perjudian dalam talian agar dapat melindungi pengguna. Seterusnya ditumpukan kepada syarikat penyedia perkhidmatan yang bakal terlibat dalam proses pelesenan pada Januari tahun hadapan. Justeru menjadi kewajipan kepada pihak terlibat untuk melaksanakan langkah proaktif bagi mengurangkan risiko pengguna yang terdedah kepada kandungan memudaratkan. Selain turut perlu menggariskan panduan serta mekanisme tertentu termasuk syarat-syarat penggunaan dan saluran yang betul bagi pengguna.

Kerajaan juga sebelum ini terus memberikan penegasan kepada para penyedia platform media sosial untuk melakukan tindakan berdasarkan garis panduan had umur yang ditetapkan dengan hanya yang berumur 13 tahun ke atas boleh membuka akaun dalam platform media sosial.