Kini, terdapat banyak konglomerat teknologi moden yang sedang dalam perlumbaan untuk membina model kecerdasan buatan yang terhebat yang boleh dimanfaatkan oleh orang ramai secara besar-besaran.
Ia boleh dikatakan bahawa gabungan OpenAI dan Microsoft kini merupakan pembangun teknologi AI terbaik dan paling menghampiri mencapai impian untuk membangunkan teknologi Artificial General Intelligence ataupun kecerdasan buatan umum.
Google baru-baru ini nampaknya telah meminta kerajaan Amerika Syarikat untuk membatalkan kerjasama diantara Microsoft dan OpenAI. Didalam kerjasama sedia-ada, Microsoft merupakan syarikat pertama yang dapat memanfaatkan teknologi-teknologi kecerdasan buatan yang dibangunkan OpenAI, manakala OpenAI pula boleh menggunakan infrastruktur Microsoft Azure untuk membangunkan teknologi-teknologi kecerdasan buatan baru.
Menurut Google, isu dengan kerjasama ini ialah sekiranya terdapat syarikat-syarikat teknologi lain yang mahu menggunakan teknologi kecerdasan buatan OpenAI, mereka akan perlu melaburkan dalam pengetahuan tentang tindanan teknologi awanan dan pelayan Microsoft Azure.
Sekiranya teknologi OpenAI dihos pada infrastruktur pelayan berbeza seperti contoh Google Cloud dan Amazon Web Services, syarikat-syarikat akan mempunyai pilihan yang jauh lebih besar untuk memanfaatkan teknologi AI tersebut dengan lebih mudah.
Dalam pada itu, jika syarikat-syarikat belum menggunakan tindanan teknologi pelayan atau awanan Microsoft Azure, percubaan untuk menggunakan teknologi OpenAI akan meningkatkan lagi kos perbelanjaan IT syarikat tersebut.
Copilot, pembantu AI Microsoft juga dibina menggunakan model bahasaraya ChatGPT-4o yang dibangunkan oleh OpenAI, dan selagimana OpenAI membangunkan teknologi kecerdasan buatan mereka sendiri, Microsoft dilihat sebagai syarikat pertama yang akan memanfaatkannya kerana pelaburan yang dilakukan keatas OpenAI.
Buat masa ini, pihak Federal Trade Commission dilaporkan sedang melakukan siasatan terhadap Microsoft berkenaan operasi mereka dan ia tidak diketahui lagi samada mereka akan mengambil tahu tentang perkara ini.
Menariknya, Google juga kini sedang berhadapan isu anti-kepercayaan mereka sendiri dimana kerajaan Amerika Syarikat mahu Alphabet, syarikat induk Google untuk memisahkan Android, Play Store dan Chrome untuk mengelakkan isu monopoli industri.