Carian
Gboard Kini Boleh Mengingati Teks Dari Tangkapan Layar Pixel Screenshots
December 12, 2024 Fahim Zahar

Saya masih tidak faham kenapa Google Pixel memerlukan aplikasi khas Pixel Screenshots untuk ciri AI, sedangkan peranti Samsung boleh menawarkan ciri yang sama dalam satu aplikasi galeri sahaja. Ciri Pixel Screenhshots sepatutnya diintegrasikan ke dalam Google Photos. Walaupun begitu, Google masih cuba memastikan penggunaan pelbagai aplikasi ini mudah pada peranti Pixel.

Selepas memastikan data-data dari Pixel Screenshot boleh digunakan bersama pelbagai aplikasi Google lain seperti Wallet, ia kini dikemaskini untuk digunakan bersama Gboard pula. Mana-mana tangkapan layar yang anda lakukan pada peranti Pixel dan tersimpan di dalam Pixel Screenshots, Gboard boleh mengingati kandungan teks yang relevan apabila anda membuka aplikasi lain.

Misalnya, anda kongsi tangkapan layar Now Playing sedang memainkan lagu Houdini oleh Dua Lipa – sebaik sahaja anda membuka aplikasi YouTube Music judul lagu akan dicadangkan pada Gboard. Ini memudahkan pengguna untuk melakukan carian tanpa perlu mengingati sesuatu atau boleh terus tekan tampal sahaja. Ciri ini turut boleh digunakan jika anda membuka mana-mana laman web produk, tangkapan layar boleh memberi cadangan carian apabila anda membuka aplikasi e-dagang.

Cuma, perlu diingatkan yang Pixel Screenshot akan mengambil sedikit masa untuk memproses data-data agar teks dalam imej boleh dikeluarkan. Disebabkan itu juga, cadangan yang diberikan kadangkala adalah dari 2-3 tangkapan layar lain yang anda pernah ambil.

Komen