Pada acara pelancaran Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan hari ini, pihak Telekom Malaysia turut mempertontonkan inovasi mereka melalui jerayawara, memperlihatkan sebuah aplikasi baharu yang dikuasakan kecerdasan buatan dan memfokuskan kepada arena kesihatan dan kecergasan.
Melalui aplikasi berkenaan, ia boleh melakukan imbasan tahap kecergasan seseorang dengan hanya menggunakan kamera sahaja. Pengguna hanya perlu menatap kamera pada peranti selama sekitar 70 saat tanpa bercakap atau melakukan perkara lain, dan seterusnya ia akan memperlihatkan sejumlah maklumat kesihatan berkenaan anda.
Maklumat yang dikongsikan termasuk berkaitan tahap stres, tekanan darah, degupan nadi, risiko diabetes, dan sebagainya. Buat masa ini, maklumat teknikal disebalik kaedah data diambil dan disusun menggunakan rakaman kamera sahaja tidak dikongsikan – tetapi dikatakan dikuasakan oleh model kecerdasan buatan untuk imbasan berkenaan.
Aplikasi ini dipertontonkan oleh TM sebagai salah satu kaedah penggunaan teknologi kecerdasan buatan. Ia tidak diketahui lagi bilakah aplikasi ini akan dikomersilkan kepada umum.