Carian
Google Mengumumkan Android XR – Sistem Operasi Untuk Set Kepala Dan Kaca Mata Pintar
December 13, 2024 Aman

Google hari ini secara rasminya memperkenalkan Android XR, iaitu sistem operasi generasi baharu yang memfokuskan kepada peranti seperti set kepala dan juga kaca mata pintar. Sistem operasi ini dibangunkan bersama pihak Samsung, dan mengabungkan pelbagai pelaburan pihak Google dalam arena AI, AR dan juga VR.

Google mengatakan peranti pertama menggunakan Android XR ini akan dijual pada tahun hadapan, dibangunkan oleh Samsung. Melaluinya, ia dikatakan pengguna boleh bertukar daripada dunia realiti maya kepada dunia realiti sebenar dengan mudah. Disamping itu, pengguna turut boleh mengakses Gemini ketika menggunakannya, termasuk untuk bertanyakan pelbagai perkara, selain turut digunakan untuk mengawal peranti.

Akses kepada aplikasi seperti YouTube, Google Photos dan Chrome akan ditawarkan melalui Android XR ini. Disamping itu, sejumlah aplikasi Android turut boleh dijalankan terus pada peranti Android XR melalui sebuah mod khusus.

Selain set realiti-gabungan daripada Samsung, Google turut mengatakan Android XR akan menguasakan kaca mata pintar, dan memudahkan pengguna berinteraksi dan mendapatkan maklumat persekitaran dengan mudah. Perkara ini sendiri telah diperlihatkan Google melalui Project Astra sebelum ini, yang menggunakan kamera peranti untuk memaklumkan berkenaan persekitaran.

Bermula hari ini, para pembangun boleh mula membangunkan aplikasi dan permainan untuk peranti-peranti Android XR akan datang.

Komen