Era kecerdasan buatan generatif kini semakin rancak. Selepas pengenalan Sora oleh OpenAI memperlihatkan kemampuan menjana video yang nampak realistik, ramai sedar betapa mudahnya kandungan di Internet kelak mudah menipu kita semua. Meta juga sedar akan perkara ini dan disebabkan itu Meta Video Seal diperkenalkan.
Video Seal adalah tera air tersembunyi untuk video janaan AI. Tera Air ini tidak boleh diubahsuai sama ada dikaburkan atau video dipangkas. Sistem akan tetap boleh mengenalpasti video janaan AI ini. Bukan itu sahaja, mesej tersembunyi turut boleh disertakan di dalam video ini. Meta menawarkan Video Seal ini secara terbuka di bawah lesen permisif, bersama-sama dengan kertas penyelidikan, kod latihan dan juga kod inferens.
Meta turut melancarkan Omni Seal Bench, satu teknik tera air yang disokong untuk pelbagai model AI bagi membantu kajian untuk penggunaan lebih selamat. Pada masa yang sama, model Meta Watermark Anything turut dilancarkan semula dengan lesen permisif.