Huawei Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran telefon boleh-lipat mereka untuk pasaran Malaysia, iaitu Huawei Mate X6. Huawei telah membuka pendaftaran minat untuknya, dan menyasarkan pelancaran rasmi telefon pintar berkenaan secara rasminya pada 11 Januari 2025.
Huawei Mate X6 membawakan rekaan telefon boleh-lipat dengan skrin dalam sebesar 7.93-inci, selain skrin luar bersaiz 6.45-inci. Ini menawarkan keselesaan kepada pengguna sama ada ketika menggunakan skrin luar, mahupun di dalam. Ia turut hadir dengan memori 12GB RAM, dan storan dalaman dengan pilihan sehingga 1TB.
Melengkapkan ia juga adalah kamera utama 50MP dengan sokongan bukaan apertur boleh-ubah, dan ditemani sensor ultra-lebar 40MP dan juga sensor makro 48MP. Telefon ini dilengkapi bateri 5110mAh dengan pengecasan pantas 66W.
Untuk pasaran China, ia menggunakan HarmonyOS NEXT, dan tidak diketahui lagi apakah penawaran sistem operasi untuk pasaran Malaysia.
Kita mungkin mendengar lanjut mengenai penawaran Huawei ini di Malaysia seawal minggu hadapan ketika pelancaran siri Nova baharu oleh Huawei.