Ev Willams, Pengasas Blogger, Twitter Dan Medium Lancar Aplikasi Sosial Baharu – Mozi
Aman
Evan Williams atau turut dikenali sebagai Ev Williams merupakan salah seorang usahawan yang tidak asing dalam arena internet, khususnya melibatkan penerbitan kandungan dan sosial. Beliau sebelum ini telah mengasaskan beberapa perkhidmatan popular, termasuk Blogger (yang kemudiannya dibeli oleh Google), Twitter (yang dibeli oleh Elon Musk), dan juga Medium. Terbaru, Ev turut melancarkan aplikasi sosial terbaru dinamakan Mozi.
Ev menekankan Mozi bukan aplikasi media sosial, sebaliknya lebih memfokuskan kepada aspek sosial dikalangan rakan-rakan terdekat. Tiada sebarang penerbitan perkongsian mahupun gambar.

Melalui Mozi, seseorang pengguna boleh melakukan perancangan mereka di sesuatu lokasi – seperti lokasi yang akan disinggah, atau acara yang akan disertai. Seterusnya, perkara berkenaan boleh dikongsikan kepada kenalan mereka, dan ia akan memudahkan perancangan untuk bertemu dengan rakan-rakan yang turut menuju ke lokasi lebih kurang sama.
Mozi menggunakan nombor telefon dan buku alamat dalam menghubungkan pengguna dan para kenalan mereka. Ini menjadikan Mozi lebih menjaga privasi, dan tidak terbuka seperti perkhidmatan lain.
Mozi buat masa ini ditawarkan untuk pengguna iPhone sahaja, dan dijangka diperluaskan kepada pengguna Android tidak lama lagi.