Suunto telah melancarkan fon telinga terbuka dengan teknologi pengaliran tulang baharu dipanggil Aqua untuk pasaran Malaysia. Ia direka khusus bagi aktiviti luar dengan pelbagai fungsi disediakan melaluinya. Misalnya seperti kalis air IP68 dan dikatakan boleh digunakan dalam air pada kedalaman sehingga 5 meter. Selain turut menawarkan binaan yang berkualiti dan ringan dengan berat hanya 35 gram untuk keselesaan yang berpanjangan.
Selain boleh menganalisis teknik berenang, Suunto Aqua turut boleh memantau keadaan leher dan otot. Sementara itu kawalan pergerakan kepala membolehkan pengguna menjawab panggilan serta menukar trek audio tanpa perlu menyentuh pada fon telinga. Butang pelbagai fungsi masih disediakan sebagai tambahan malahan boleh disesuaikan ikut keselesaan masing-masing melalui aplikasi Suunto.
Tambatan pantas boleh dibuat melalui Bluetooth 5.2 di samping mempunyai storan 32GB untuk main balik muzik secara luar talian (offline). Bateri disertakan pula boleh berfungsi 10 jam dan meningkat 20 jam dengan bantuan powerbank. Harga jualan rasmi adalah RM1,099 dan boleh dibeli melalui Shopee, Lazada dan Tiktok sekarang.