Carian
Permohonan Program Kohort Kedua HASAN.VC Dibuka Dengan Tawaran Pembiayaan Hingga US$60,000
December 13, 2024 Amy Maizuraa

Bagi meneruskan momentum dalam menyokong dan mempertingkatkan ekosistem startup dalam industri halal global, permohonan program kohort kedua HASAN.VC kini telah dibuka. Ia diadakan bertujuan untuk menyokong dan membantu syarikat pemula niaga tempatan, terutamanya usahawan Muslim dan wanita, di peringkat awal. Pada masa sama mewujudkan peluang kepada pengasas untuk meningkatkan prestasi syarikat masing-masing dengan menyediakan sumber dan bimbingan berkaitan.

Program ini akan berlangsung selama tujuh minggu secara dalam talian yang juga menawarkan latihan menyeluruh dan sokongan berterusan untuk bantu mereka berjaya dalam ekosistem ini. Ianya merangkumi tawaran pembiayaan (atau pre-seed funding) sehingga US$60,000 (RM268,000), bimbingan daripada pengasas Muslim yang berjaya, dan akses kepada lebih 500 rangkaian pelabur penting.

HASAN.VC yang turut mendapat pembiayaan Quest Ventures, Gobi Partners, Artem, Global Invest, Ethis, First Move, 12.5 VC dan Insignia Ventures Partners ini akan berlangsung dengan pelbagai aktiviti dan sesi bengkel masterclass yang menarik. Peserta juga akan mendapat manfaat daripada pemain ekosistem yang sama, akses kepada lebih daripada 60 juta data rakan kongsi, dan peluang padanan pembiayaan kerajaan.

Sebanyak sepuluh syarikat dengan potensi pertumbuhan besar akan dipilih untuk setiap kohort bagi menerima pembiayaan sebagai pertukaran ekuiti. Mereka yang dipilih juga perlu membentangkan idea inovatif dan model perniagaan masing-masing kepada panel juri dalam acara kemuncak Demo Day bagi tujuan penilaian akhir. Startup yang berminat boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian di laman web rasmi HASAN.VC sehingga 19 Disember 2024 kemudian program pula akan bermula pada 6 Januari 2025.

Komen