Carian
Aplikasi Daun Kini Sedia Diuji – Platform Media Sosial Baharu, Turut Menyertakan Tab Khusus Untuk Berita
December 13, 2024 Fahim Zahar

Sejak tahun lepas, semakin banyak platform media sosial seakan X atau nama dahulunya Twitter diperkenalkan. Ada yang berkonsepkan sumber terbuka di bawah platform Fediverse, ada juga salinan X seperti Threads. Terbaru di Malaysia adalah Daun satu lagi platform media sosial yang ingin bersaing dengan X.

Melalui Daun, anda boleh lihat yang ia menawarkan antaramuka yang tidak rasa janggal kerana sudah banyak menggunakan rekaan lebih kurang sama – lebih-lebih lagi di web. Di aplikasi mudah alih, Daun menggunakan bar kawalan terapung yang nampak moden dan kemas. Daun menggunakan terma-terma dari tumbuh-tumbuhan seperti Dedaun untuk akaun-akaun lain yang anda ikuti dan juga Pokok untuk akaun-akaun dari pelbagai pengguna lain.

Daun turut mempunyai segmen khas untuk berita yang hanya memaparkan sumber-sumber sahih seperti Sukanz, Tajria, Aksiz dan banyak lagi yang akan datang. Daun turut memudahkan pengguna untuk mencari kandungan lain pernah dikongsi. Jika ada yang digemari, Daun turut menyokong Penanda untuk anda rujuk semula perkongsian tadi.

Dalam semakan saya, turut terdapat ciri yang akan ditambah iaitu Rumpun yang mungkin adalah ciri seakan komuniti atau kumpulan pada X atau Facebook Groups. Penggunaan juga masih lagi asas dengan setiap perkongsian hanya boleh menyertakan gambar dan pautan. Kemudian interaksi pengguna terhad kepada komen, kongsi semula dan penanda tetapi tiada suka.

Daun juga masih tiada sokongan perkongsian audio, video dan juga tiada sebarang langganan. Saya juga sedari yang Daun tiada paparan iklan. Untuk penggunaan singkat, saya agak terkejut yang banyak kandungan dikongsi adalah dari pengguna Malaysia. Jika anda sudah bosan dengan X yang toksik, Facebook yang banyak berita palsu dan Threads yang mempunyai capaian yang mengarut – Daun adalah platform yang bagus untuk anda cuba.

Penafian : Daun dibangunkan oleh pasukan berbeza dibawah Amanz.

Komen