Hujung bulan lepas, Sony Malaysia telah membuka tempahan untuk kamera nircermin mercu baharu mereka iaitu Sony Alpha 1 II. Hari ini, ia dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia.
Alpha 1 II adalah kamera nircermin mercu yang ramai pengguna Sony nantikan. Namun begitu, banyak ciri hebat dan canggih telah pun diperkenalkan pada kamera lain mereka seperti Alpha 9 III. Satu ciri paling menarik adalah sensor CMOS bertindih Exmor RS 50.1 Megapixel dengan teknologi BIONZ XR. Ia boleh menyimpan dalam format pangkas APS-C 21 Megapixel.
Ciri Pre-Capture diberikan untuk mengambil gambar sebelum butang pengatup ditekan. Ciri Continuous Shooting Speed Boost yang disokong memberi lebih fleksibiliti mengambil gambar bergerak. Sony turut membawakan ciri autofokus AI mereka yang pantas dan hebat yang dikuasakan cip pemproses AI. Sistem penstabilan imej Sony Alpha 1 II kini menyokong 8.5 henti berbanding 5.5 henti sebelum ini. Ia juga nempunyai mod dinamik aktif.
Skrin LCD turut masih ada, iaitu bersaiz 3.2-inci dengan sistem engsel 4-paksi untuk mudah digunakan dari pelbagai sudut pandangan. Pada viewfinder terdapat pad mata jenis FDA-EP21 untuk lebih selesa. Kamera turut didatangkan bersama dengan pengecas dwi-bateri BC-ZD1 untuk mengecas dua bateri Z NP-FZ100 dalam masa 155 minit.
Sony tidak lupa yang Alpha 1 II adalah kamera moden jadi ia turut mempunyai integrasi sistem awanan Sony Creators Cloud. Ini membolehkan pengguna terus simpan fail foto dan video di Google Drive atau Adob Lightroom. Kamera turut menyokong sambungan LAN 2.5GBASE-T untuk alternatif lain.
Sempena pengenalan kali pertama di Malaysia, Sony Alpha 1 II dijual pada harga RM29,299. Setiap pembelian awal melayakkan pembeli menerima hadiah percuma bernilai RM3,381 iaitu Sony CEA-G80T CF Express Card, bateri Sony NP-FZ100, PGYTECH OnePro Flex 50l Backpack dan langganan Capture One All-In-One selama tiga bulan.
Di acara pelancaaran yang sama, Sony Malaysia turut melancarkan lensa kamera profesional baharu. Lensa ini adalah FE 28-70mm F2 GM dengan cagak E-mount yang memfokuskan kepada kemampuan zum dengan bukaan f/2.0. Lensa ini menggunakan kaca dari tiga elemen XA (sferikal melampau), satu ED (serakan sangat rendah) dan tiga elemen Super ED untuk mengurangkan aberasi kromatik.
Lapisan Nano AR Coating II turut digunakan bagi mengurangkan suar/bayang. Lensa ini sangat sesuai untuk merakam gambar jarak dekat dengan fokus jelas serta mempunyai kemasan bokeh G Master.
Lensa yang berharga RM13,199 ini menggunakan motor linear dengan empat XD (dinamik yang melampau) dan algoritma baharu yang memastikan fokus f/2.0 yang besar berada di bawah kawalan yang tepat. Dengan harga agak premium ini, FE 28-70mm F2 GM juga mampu merakam video denagn tetapan 4K 120p/FHD 240p tanpa sebarang masalah.
Untuk yang terawal membeli lensa ini, Sony Malaysia akan memberikan mereka satu bateri NP-FZ100 yang berharga RM402 dan juga peniup udara NITECORE BB21 yang bernilai RM299.