Carian
Apple Dilaporkan Sedang Bangunkan Rekaan Tetikus Yang Baharu
December 15, 2024 Aman

Apple sedia menawarkan tetikus rekaan sendiri, dinamakan Magic Mouse. Ia pertama kali diperkenalkan sejak 15 tahun dahulu, tetapi tidak membawakan perubahan drastik pada rekaan – selain daripada bahagian pengecasan. Rekaan tetikus berkenaan sering dikritik ramai, termasuk port pengecasan yang diposisikan pada bahagian bawah tetikus – membuatkan ia tidak boleh digunakan ketika sedang mengecasnya.

Terbaru, menurut Bloomberg, pasukan rekabentuk Apple sedang membangunkan tetikus yang baharu, yang mungkin kita lihat dipasarkan dalam tempoh 12 ke 18 bulan akan datang. Rekaan baharu ini dikatakan akan memberikan lebih keselesaan ketika menggunakannya, termasuk port yang lebih memudahkan proses pengecasan.

Apple dikatakan sedang membangunkan tetikus yang lebih mesra pengguna, termasuk menepati kaedah penggunaan masa kini. Seperti ramai sedia maklum, pada hari ini input dilakukan dalam pelbagai kaedah, termasuk pada skrin sentuh, dan juga melalui suara terutamanya untuk mengakses khidmat kecerdasan buatan dan pembantu maya.

Dengan perkembangan baharu ini, sama-sama kita nantikan pembaharuan yang bakal ditawarkan Apple melalui tetikus mereka.

Komen