Dengan perlumbaan dalam arena peranti boleh-lipat, Apple telah dilaporkan beberapa kali sedang dalam proses hadir dengan rekaan peranti boleh-lipat mereka tersendiri. Sebelum ini, mengikut beberapa laporan awal, Apple dikatakan mungkin hadir dengan iPhone yang boleh dibuka menjadi iPad.
Terbaru, mengikut laporan Bloomberg, Apple menyasarkan untuk hadir dengan iPad boleh-lipat seawal 2028 kelak. Peranti yang sedang dibangunkan berkenaan berbentuk sebuah ipad yang boleh dibuka dan menjadi saiz sekitar dua iPad Pro yang digabungkan. Ini secara kasar memperlihatkan ia mungkin sekitar 20-inci apabila dibuka.
Dengan rekaan baharu berkenaan, ia membolehkan pengguna mendapatkan sebuah iPad yang mudah dibawa dalam saiz yang sederhana, dan menjadi saiz besar sekitar 20-inci apabila dibuka. Peranti berkenaan mungkin disasarkan untuk tujuan grafik dan sebagainya, serta memudahkan lakaran.
Laporan Bloomberg turut menekankan Apple inginkan skrin pada peranti berkenaan tidak mempunyai kesan lipatan – salah satu perkara yang masih menjadi cabaran untuk pelbagai pengeluar sedia-ada, termasuk Samsung.
Namun, dengan sasaran sekitar 4 tahun lagi, tidak mustahil untuk kita melihat perkembangan teknologi skrin dan sebagainya, dalam membolehkan iPad boleh-lipat pertama berkenaan menawarkan pengalaman yang lebih baik.
Sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut berkenaan penawaran Apple ini dari tahun ke tahun.