Penggunaan Google NotebookLM dilihat kini menjadi semakin popular. Baru-baru ini, Google memperkenalkan kemas kini baharu untuk antaramuka dengan rekaan lebih mudah digunakan serta turut menyertakan beberapa ciri baharu.
Antaramuka utama kini memaparkan tiga panel boleh-suai dengan pertama Sources yang kini boleh dikecilkan mengikut citarasa pengguna. Kedua adalah Chat untuk berbual seakan dalam Gemini, dan akhir sekali Studio, untuk melihat topik perbincangan yang dijana berserta audio podsiar dengan dua hos AI.
Untuk Audio Overviews, Google memperkenalkan Interactive Mode yang membenarkan pengguna untuk menyertai perbincangan topik bersama hos AI. Ia akan menawarkan pengalaman seakan pengguna menelefon radio untuk bertanyakan soalan atau menyampaikan mesej.
Paling menarik, Google turut memperkenalkan pelan premium Plus. Dengan pelan ini pengguna boleh menjana 20 podsiar berbanding pelan percuma yang terhad kepada 3 sahaja. Kemudian 500 buku nota berbanding 100, 500 perbualan berbanding 50, dan 300 sumber berbanding 50 dalam masa satu hari. Melalui pelan ini, ciri perkongsian perbualan dan tetapan Advanced chat serta menganalisa buku nota akan diberikan.
Pelan ini terhad kepada pelanggan Google Cloud dan pengguna di bawah pelan Workspace atau akaun pendidikan. Akan datang pada tahun 2025, pelan ini akan ditawarkan kepada semua di bawah langganan Google One AI Premium.