Carian
Butiran Dan Gambar Lenovo Legion Go 2 Juga Tertiris Ke Arena Web
December 16, 2024 Nazrin

Pada minggu lepas kami telah melaporkan bahawa rekaan Lenovo Legion Go S, konsol kelas mampu milik Lenovo telah tertiris ke arena web. Sama seperti sebuah Nintendo Switch Lite, ia hadir dengan rekaan yang lebih padat, dan dengan alat kawalan yang tidak boleh dicabut, tidak seperti Lenovo Legion Go.

Terkini, rekaan dan spesifikasi baru Lenovo Legion Go 2 (nama belum ditetapkan lagi) juga telah tertiris ke arena web, dimana seperti yang dijangka, ia dilihat akan hadir dengan rekaan yang serupa seperti model sebelum ini, tetapi dengan spesifikasi serba baru.

Evan Blass sekali lagi meniriskan gambar rekaan konsol ini, dan seperti yang dijangka, ia hadir dengan alat kawalan yang boleh dicabut, dimana pengawal sebelah kanan boleh digunakan sebagai sebuah tetikus nirwayar.

Selain daripada itu, satu lagi penaiktarafan yang dilakukan pada konsol ini termasuklah bahawa ia hadir dengan penggunaan panel OLED, mengekalkan saiz 8.8 inci yang sama seperti sebelum ini. Setakat ini, resolusi paparan OLED ini tidak diketahui lagi, tetapi oleh kerana ia menggunakan saiz paparan yang sama, ia mungkin juga mengekalkan resolusi 2560×1600 yang sama.

Dari segi spesifikasi pula, ia nampaknya juga disahkan bahawa konsol ini akan dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 Extreme yang tampil menggunakan gabungan cip pemprosesan AMD Zen5 terbaru dan juga cip pemprosesan grafik AMD Radeon 890M.

Lenovo dijangka akan memperkenalkan Lenovo Legion Go 2 dan Legion Go S di acara CES 2025 yang akan berlangsung di Las Vegas pada minggu pertama Januari 2025.

Komen