Suruhanjaya Eropah (EC) telah mengumumkan projek Infrastructure for Resilience, Interconnectivity and Security by Satellite (IRIS²) kini akan diteruskan dengan ia dijangka beroperasi bermula 2030. In adalah tiga tahun lebih lewat berbanding pengumuman asal yang dilakukan pada tahun 2022.
IRIS² ialah perkhidmatan seakan Starlink yang akan membolehkan pengguna di luar rangkaian konvensional untuk mengakses rangkaian internet menerusi satelit. Konflik di Ukraine membuatkan sistem IRIS² dibangunkan dengan segera kerana Kesatuan Eropah (EU) tidak ingin bergantung kepada perkhidmatan pihak ketiga.
Apabila beroperasi sepenuhnya kelak, IRIS² akan mempunyai 290 satelit dengan 272 diletakkan pada kedudukan orbit bumi rendah (LEO) dan 18 lagi pada orbit bumi sederhana (MEO). Bagi menjayakan IRIS², konsortium SpaceRISE telah ditubuhkan.
Ia terdiri daripada tiga pengendali satelit Eropah iaitu SES SA, Eutelsat SA, dan Hispasat S.A. Mereka pula akan disokong oleh pakar seperti Thales Alenia Space, OHB, Airbus Defence and Space, Telespazio, Deutsche Telekom, Orange, Hisdesat, dan Thales SIX. Kos projek dianggarkan mencapai €10.6 bilion (~RM 50 bilion).