Bukan rahsia Elon Musk ingin menjadikan X sebuah aplikasi super yang boleh melakukan pelbagai tugasan secara serentak. Selepas ia sudah menawarkan ciri mengiklankan kerja dan menjana pendapatan, Elon Musk mengesahkan ciri seterusnya ialah Xmail yang berfungsi seperti emel pada Februari lalu. Semalam Elon berkongsi pula bagaimana XMail berbeza dengan perkhidmatan emel yang lain.
Menurut Musk, Xmail berbeza dengan perkhidmatan emel lain kerana mesej yang diterima akan dipaparkan seperti bebenang DM yang diterima dalam media sosial. Ini menurut beliau akan hanya memaparkan maklumat yang diperlukan dalam antaramuka yang kemas sekaligus lebih mudah dibaca.
Walaupun perkhidmatan telah disahkan, Musk tidak pula berkongsi bilakah Xmail akan ditawarkan kepada pengguna X. Sebelum ini usaha beliau menjadikan X platform penstriman video tidak mendapat sambutan kerana pelbagai isu teknikal. Perancangan menjadikan X sebuah aplikasi perbankan juga kini sudah lama tidak dikemaskini.