Siri komputer riba Lenovo Yoga secara lazimnya dilihat sebagai penawaran komputer riba yang hadir dengan gabungan rekaan yang cantik dan menawan, dan digabungkan dengan kuasa pemprosesan yang cukup berkuasa, menjadikannya sebuah siri komputer riba kelas premium yang tersohor.
Kami diberi peluang untuk mengulas komputer riba Lenovo Yoga Pro 7i, komputer riba mereka yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Meteor Lake, yang mana kebanyakannya diperlihatkan pada awal tahun ini. Lenovo masih belum memperkenalkan penawaran Intel Lunar Lake mereka, yang dijangka akan diperkenalkan sekitar tahun hadapan.
Spesifikasi Dan Rekaan
Nama Model | Lenovo Yoga Pro 7i |
Saiz Paparan | 14.5″ 2880×1800, 16:10, 120Hz, 400 nits |
Pemproses | Intel Core Ultra 7 155H 16 Teras |
Cip Grafik | NVIDIA GeForce RTX 4050 |
RAM | 32GB LPDDR5X |
Muatan Dalaman | 1TB M.2 NVMe PCIe 4.0 SSD |
Kamera | Full HD 1080P |
Palam I/O | 1 x USB 4.0 Gen 3 Type-C (Thunderbolt 4) 1 x USB 3.2 Gen 2 Type-C 1 x USB 3.2 Gen 1 Type-A 1 x HDMI 2.1 1 x bicu audio 3.5mm |
Sistem Operasi | Windows 11 Home |
Sekuriti | Kamera (Windows Hello) |
Bateri | 73WHrs, 4-cell Li-ion Pengecas 100W |
Harga | RM7499 |
Model Lenovo Yoga Pro 7i yang dihantar kepada kami untuk diulas tampil dengan paparan skrin OLED bersaiz 14.5 inci dengan resolusi 2880×1800 dengan kadar segar semula 120Hz dan nisbah paparan 16:10 yang lebih tinggi.
Untuk model ini, dua pilihan paparan skrin lain juga ditawarkan, termasuklah paparan IPS biasa dan PureSight IPS yang tampil dengan pilihan resolusi dan juga kadar segar semula yang berlainan.
Model ini juga dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core Ultra 155H, iaitu sebuah cip pemprosesan Intel Meteor Lake yang dilancarkan untuk komputer riba kelas nipis dan ringan. Untuk model ini juga, Lenovo memberinya memori LPDDR5X 32GB dan juga storan SSD PCIe4 sebesar 1TB.
Dalam pada itu, jika anda memerlukan sebuah komputer riba yang hadir dengan kuasa pemprosesan grafik yang berkuasa, ia juga dimuatkan dengan sebuah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4050 yang cukup berkuasa untuk menggerakkan sejumlah permainan komputer moden dan juga perisian-perisian mengolah grafik moden untuk tujuan produktiviti kreatif profesional.
Estetika rekaan komputer riba Lenovo Yoga Pro 7i adalah salah satu daripada rekaan kegemaran saya kerana bucunya yang bulat. Rekaan serba nipis dengan ketebalan 15.6mm dan berat sekitar 1.5kg juga membuatkan komputer riba ini cukup nipis dan ringan untuk dibawa kemana-mana untuk tujuan kerja dan juga riadah.
Bercakap mengenai estetika, Lenovo Yoga Pro 7i hadir dengan butang kuasa di sisi kiri komputer riba. Apabila saya menggunakan komputer riba ini untuk pertama kalinya, saya tercari-cari butang kuasa di atas papan kekunci.
Sayangnya butang kuasa di sisi ini tidak hadir dengan sistem imbasan cap jari, tetapi jika anda masih mahu menggunakan ciri log masuk Windows Hello, kamera web 1080p yang terbina masih sedia digunakan.
Bercakap mengenai kamera web, Lenovo Yoga Pro 7i ini juga hadir dengan suis fizikal yang menutup kamera web tersebut sekiranya anda tidak mahu ia digunakan, dan risau tentang isu penggodam komputer.
Untuk pengecasan, komputer riba ini hadir dengan pengecas 100W yang boleh menggerakkan kedua-dua komponen CPU dan GPU terbina, tetapi jika anda hanya menggunakan komputer riba ini untuk tujuan-tujuan produktiviti harian biasa, pengecas 65W cukup berkuasa untuk memastikan bateri komputer riba ini sentiasa dicas.
Pengalaman Pengguna
Seperti yang saya katakan sebelum ini, pengalaman penggunaan kali pertama komputer riba ini sedikit aneh, bermula dari pencarian butang kuasa di sisi komputer riba ini. Walaupun begitu, selepas perkara ini, perkara-perkara lain adalah seperti biasa, khususnya dengan papan kekunci Lenovo yang terkenal untuk keselesaannya, sehinggalah paparan OLED yang mengolah warna kandungan digital dengan cantik sekali.
Dari segi prestasi, cip pemprosesan Intel Core Ultra 7 155H pada komputer riba ini dilihat cukup berkuasa untuk pelbagai jenis tugasan harian, dari yang ringkas hinggalah ke rumit, semua dalam sebuah rangka yang nipis dan ringan.
Untuk saya, yang secara lazimnya hanya menggunakan komputer riba untuk menulis artikel-artikel harian, menonton sedikit video dan juga untuk menyunting gambar dan mungkin sedikit video, gabungan cip pemprosesan Intel Core Ultra 7 155H dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4050 cukup berkuasa untuk melakukan semuanya dari menyunting dokumen sehinggalah ke video beresolusi tinggi tanpa masalah.
Paparan skrin OLED yang diperlihatkan pada model komputer riba ini juga memperlihatkan warna yang jitu dan ranggi pada masa yang sama, memanfaatkan nilai kecerahan yang tinggi untuk olahan kandungan pada kualiti yang terbaik. Digabungkan dengan pembesar suara yang tampil menggunakan teknologi Dolby Atmos, pengalaman menonton video dan mendengar pada komputer riba ini cukup memuaskan.
Apa yang saya suka juga mengenai komputer riba ini ialah kamera webnya dapat mengesan kehadiran pengguna di hadapannya, dan jika anda beredar, ia akan mengesan anda sebagai tidak berada di hadapan komputer riba, dan akan menguncinya untuk anda.
Perkara ini juga dapat diperlihatkan dalam model komputer riba Intel Lunar Lake yang telah kami ulas sebelum ini, dan ia menarik untuk mengetahuinya bahawa ia juga dimanfaatkan dalam komputer riba ini.
Penanda Aras
Kami menggerakkan beberapa ujian penanda-aras untuk melihat prestasi komputer riba ini.
PCMark 10
3DMark FireStrike Extreme
GeekBench
CrystalDiskMark
Bateri
Dengan siri cip pemprosesan baru ini, Lenovo menjanjikan jangka hayat bateri yang lebih panjang berbanding dengan penawaran komputer riba mereka sebelum ini. Dengan cip pemprosesan Intel Core Ultra 7 155H, komputer riba ini dilihat boleh bertahan selama sekitar 7-8 jam dengan satu pengecasan penuh.
Jangka hayat bateri ini boleh didapati dengan menetapkan nilai kecerahan paparan pada kadar 50 peratus, dan digunakan untuk tugasan-tugasan produktiviti harian seperti menulis artikel, menyunting gambar dan menonton video.
Ada Apa Dalam Kotak
Ini adalah apa yang anda akan dapat didalam kotak dengan setiap pembelian komputer riba Lenovo Yoga Pro 7i:
- 1x Lenovo Yoga Pro 7i
- Pengecas USB 100W
- Manual
Penutup
Lenovo Yoga Pro 7i ialah sebuah komputer riba kelas produktiviti premium yang tampil dengan gabugnan rekaan serba-serbi dengan gabungan prestasi yang mantap. Pada tanda harga sekitar RM7499, komputer riba ini memperlihatkan gabungan rekaan berestetika moden minimalis dan juga kuasa pemprosesan dan bateri yang cukup mantap.
Cip pemprosesan Intel Core Ultra 7 155H digabungkan dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4050 juga dilihat cukup berkuasa untuk melakukan pelbagai jenis tugasan, tidak kira untuk produktiviti ataupun riadah tanpa masalah.
Jika anda berminat untuk mendapatkannya, ia kini ditawarkan di kedai-kedai pengedar rasmi Lenovo Experience Store di seluruh Malaysia.
Pro:
- Prestasi hebat
- Spesifikasi berkuasa
- Rekaan nipis dan ringan
- Jangka hayat bateri panjang
- Paparan OLED
Kontra:
- Kedudukan butang kuasa yang aneh