Carian
S Pen Untuk Samsung Galaxy Z Fold7 Mungkin Menggunakan Teknologi Apple Pencil
December 18, 2024 Fahim Zahar

Dengan ketiadaan siri Samsung Galaxy Note, penggunaan stylus S Pen kini digunakan pada siri Galaxy S Ultra, Galaxy Z Fold dan Galaxy Tab S. Akan datang, bagi membolehkan Galaxy Z Fold7 yang lebih nipis dihasilkan, Samsung dilaporkan akan menggunakan teknologi mirip Apple Pencil pada S-Pen mereka.

Menurut ETNews, Samsung akan bertukar daripada teknologi resonans elektromagnetik (EMR) kepada elektrostatik aktif (AES) di skrin peranti. AES ialah teknologi yang digunakan Apple Pecil yang memerlukan bateri untuk menghantar isyarat elektrik ke skrin. Ini bermakna S-Pen perlu dicas seperti Apple Pencil dicas pada iPad.

Ini mungkin bukan isu besar kerana S-Pen itu sendiri adalah pilihan pengguna dan ia tidak disertakan sekali. Cuma, selepas ini jika ia direalisasikan pengguna perlu memastikan S-Pen sentiasa ada bateri sebelum menggunakannya. Keunikan S-Pen berbanding Apple Pencil ialah ia tiada bateri dan nampaknya perkara ini berubah tahun hadapan.

Tidak pasti apa yang Samsung akan lakukan untuk memastikan rekaan Galaxy Z Fold7 kekal nipis bersama dengan sokongan S-Pen. Sama-sama kita nantikan.

Komen