NVIDIA Memperkenalkan Kit Pembangun AI Jetson Orin Nano Super Pada Harga Mampu Milik
Nazrin
Pembangunan teknologi AI dilihat sangat pesat sekarang, dimana setiap hari ataupun setiap minggu kita dapat melihat satu perkhidmatan AI baru diperkenalkan. Untuk membantu dalam mengembangkan pembangunan teknologi ini, NVIDIA telah memperkenalkan sebuah kit pembangunan AI terbaru yang dinamakan NVIDIA Jetson Orin Nano Super.

Komputer Jetson Orin Nano ini hadir dengan rekaan serba padat, selari dengan banyak kit pembangun perisian hari ini, tetapi ia tampil dengan spesifikasi yang cukup berkuasa dan juga tanda harga yang cukup rendah untuk membolehkan sesiapa pun memulakan kerjaya sebagai pembangun teknologi AI.
Jetson Orin Nano Super menggunakan cip pemprosesan Arm Cortex-A78AE dengan kelajuan 1.7GHz dengan 8GB DRAM terbina. Ia juga tampil dengan GPU terbina dengan kelajuan 1020MHz dan mempunyai 1024 teras CUDA dan 32 teras Tensor yang membolehkan komputer kecil ini untuk menjana 67 TOPS untuk tujuan pemprosesan kecerdasan buatan.
Ia juga merumahkan empat palam USB 3.2 Type-A dan boleh dikuasakan menggunakan satu palam USB Type-C dan boleh dipadankan dengan dua storan SSD bersaiz M.2 2280 ataupun 2230 didalamnya. Ia juga merumahkan sebuah slot untuk kad MicroSD yang juga boleh digunakan untuk merumahkan sistem operasi Linux L4T, yang dibina khusus untuk digunakan bersama-sama kelengkapan NVIDIA.

NVIDIA turut mengatakan bahawa untuk kit pembangun Jetson Orin sedia ada juga akan memperlihatkan peningkatan dari segi prestasi apabila mereka memasang kemaskini perisian baru yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Seperti yang kami katakan sebelum ini, NVIDIA Jetson Orin Nano Super ini juga hadir dengan tanda harga yang cukup rendah sekali, pada harga $249 (~RM1112), dan akan ditawarkan di pelbagai platform e-dagang tidak lama lagi.
[sumber]NVIDIA[/sumber]