Kebanyakan perkhidmatan chatbot AI di pasaran sekarang sedia menyokong ciri memuat naik fail untuk pengguna bertanyakan pelbagai soalan, menganalisa data atau menjana sesuatu dengan fail tersebut sebagai sumber. Claude, Perplexity dan ChatGPT semuanya sedia untuk pengguna percuma tetapi Google Gemini terhad kepada pengguna berbayar sahaja. Terbaru, pengguna percuma kelak turut boleh lakukannya cuma bukan dari Gemini.
Untuk pengguna percuma, Google dilihat sedang menguji ciri memuat naik fail terus pada Google Search dan pengguna boleh melakukan pelbagai carian atau tanya soalan berdasarkan fail tersebut. Cuma, berdasarkan video demo ia hanyalah carian biasa dan bukannya carian AI atau kandungan dirumuskan oleh AI. Ciri ini dilihat akan cuba mencari sumber atau konteks dari fail-fail lain di web yang berkait dengan fail yang dimuat naik.
Jika ciri ini telah tiba kepada semua, pengguna tidak digalakkan memuat naik fail dengan kandungan sensitif seperti data peribadi kerana tidak jelas di mana fail tersebut akan disimpan. Untuk lebih selamat, bayar RM97.99 untuk Google One AI Premium atau gunakan ChatGPT sebagai alternatif percuma.