Peranti seterusnya yang diperkenalkan pada hari ini adalah siri Huawei Nova 13 baharu dengan peningkatan menarik. Walaupun kedua-dua telefon ini berkongsi DNA rekaan yang anggun dan ciri canggih, namun masih terdapat beberapa perbezaan yang jelas melaluinya. Berikut spesifikasi penuh untuk Huawei Nova 13 Pro dan Nova 13 di Malaysia.
Huawei Nova 13 Pro menggunakan skrin melengkung OLED FHD+ sebesar 6.76-inci dengan kadar segar semula 120Hz. Tiada maklumat mengenai cip pemprosesan tetapi memori 12GB RAM, storan dalaman 512GB dan perisian EMUI 14.2 ditawarkan pada peranti ini. Sistem tri-kamera utama terdiri dengan 50MP f/1.4~f/4.0 dengan OIS, 48MP telefoto makro dan 40MP ultra sudut lebar f/2.2. Selain itu mempunyai kamera swafoto 60MP + 8MP (potret). Bateri adalah sejenis silikon-karbon 5000mAh yang boleh dicas melalui pengecasan pantas 100W dan port USB-C.
Huawei Nova 13 pula dilengkapi skrin rata OLED FHD+ 6.7-inci dengan kadar segar semula 120Hz. Ia juga menawarkan memori 12GB RAM, storan dalaman 512GB dan perisian EMUI 14.2. Dwi-kamera 50MP (f/1.9) utama + 8MP (f/2.2) ultra-lebar berserta kamera swafoto 60MP (f/2.4) digunakan pada peranti Nova 13. Bateri adalah sejenis silikon-karbon sebesar 5000mAh yang boleh dicas melalui pengecasan pantas 100W dan port USB-C.
Harga jualan rasmi adalah bermula RM1,799 untuk Nova 13 manakala Nova 13 Pro dijual pada RM2,399. Setiap pembelian siri Huawei Nova 13 didatangkan dengan pelbagai aksesori bernilai sehingga RM948 termasuk Huawei Freebuds 5i dan pelan eksklusif AppGallery.