Penggunaan pengimbas cap jari bawah skrin sudah menjadi satu perkara biasa dalam arena telefon pintar. Tahun ini, sensor jenis ultrasonik akhirnya digunakan oleh ramai pengeluar. Akan datang, Google akan memperkenalkan ciri nyahkunci skrin baharu yang sudah lama ada pada pelbagai peranti keluaran China.
Versi Google ini adalah untuk Android 16 dan juga peranti Pixel, di mana buat pertama kali ciri ini akan terbina secara natif dalam kod pembangunan Android. Ciri ini adalah mengimbas cap jari untuk menyahkunci peranti ketika skrin dimatikan. Ia sudahpun wujud pada beberapa peranti keluaran Xiaomi, Oppo, Vivo, Tecno dan banyak lagi.
Ciri ini mungkin tidak begitu penting bagi sesetengah pengguna, tetapi untuk saya ia sangat berguna kerana lebih pantas. Ia juga berbeza dengan menyahkunci peranti ketika skrin berada dalam mod Always-on. Ciri ini membolehkan pengguna menyahkunci peranti seakan zaman pengimbas fizikal di belakang atau sisi peranti, di mana skrin mati tetapi boleh dinyahkunci dengan jari terus menyentuh/menekan pengimbas terbina.