Aksesori Ini Memanjangkan Hayat Apple AirTag Sehingga Sedekad
Fahim Zahar
Apple AirTag adalah antara produk Apple yang sangat berguna, sehingga ia mesra bersama peranti Android. Bukan itu sahaja, ia juga adalah satu-satunya produk moden Apple yang pengguna boleh tukar sendiri bateri. AirTag 2 dijangka akan dilancarkan pada tahun hadapan, tetapi adakah bermakna AirTag sekarang tidak lagi relevan?

Sudah semestinya ia kekal relevan, lagi-lagi dengan pencarian lokasi AirTag kini boleh dikongsi sama ada dengan rakan, keluarga atau syarikat penerbangan terpilih. Terbaru, ElevationLab telah melancarkan aksesori khas untuk AirTag dinamakan sebagai TimeCapsule untuk meningkatkan jangka hayat bateri penjejak objek ini.
Dengan TimeCapsule, satu AirTag boleh bertahan sehingga 10 tahun. Cuma, pengguna tidak lagi dapat menikmati AirTag dalam tubuh yang kompak kerana aksesori ini adalah seakan saiz alat kawalan jauh Apple TV 4K yang lebih tebal. Walaupun begitu, ia tahan lebih lasak dan turut menyokong perlindungan IP69.

Menurut ElevationLab, untuk mendapatkan jangka hayat tambahan sehingga 14 kali ganda pengguna perlu menggunakan 2x bateri AA jenis lithium. Mereka mencadangkan Energizer Ultimate Lithium untuk ketahanan lebih lama. Harga jualan adalah $19.99 (~RM90) dan turut mempunyai berkas pek-2 dan pek-4 yang berharga $29.99 (~RM135) dan $39.99 (~RM180).
[sumber] ElevationLab [/sumber]